Artikel

Jaringan Penyerang Berumur 19 Tahun, Haqimi Dapat Pujian Bojan Hodak

Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak memuji penyerang muda, Muhammad Haqimi Azim Rosli yang tidak mensia-siakan peluang diberi untuk membantu pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super, semalam.

Meskipun perlawanan itu agak mencabar dengan keadaan padang yang basah, namun barisan pemain tetap mencari peluang untuk menjaringkan gol sehingga Haqimi yang berusia 19 tahun berjaya memecah kebuntuan pada minit 31’.

“Sangat penting untuk kita menang perlawanan ini walaupun agak penat sedikit bermain dengan keadaan padang yang basah.

“Separuh masa kedua mereka bermain dengan lebih baik dan saya gembira dengan pasukan terutamanya Haqimi kerana ini kali kedua dia bermain dan benar-benar menggunakan peluang ini sebaiknya.

“Kami meminta dia untuk menggunakan kelajuan yang dia ada dan dia sebenarnya nak menjaringkan lagi gol untuk pasukan.

“Ini penting untuknya bina keyakinan dan meningkatkan lagi kualiti permainan,” jelasnya.

Bagi Hodak, Haqimi membuktikan kemampuannya apabila peluang diberi untuk membarisi kesebelasan utama dan berharap dia mampu untuk meneruskan momentum pada aksi-aksi akan datang.

Selepas jaringan oleh Haqimi, KL City berhasil menambah satu lagi jaringan menerusi Zhafri Yahya pada minit 72’ dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur itu.

Kemenangan ini membolehkan KL City memintas Kedah Darul Aman FC (Kedah) menduduki tangga kelima Liga Super selepas mengharungi 17 perlawanan.

Featured Image: Malaysian Football League

komen