Teka-teki mengenai pasukan yang akan disertai oleh pertahanan kacukan skuad kebangsaan, Johan Dion Cools selepas menamatkan kontrak bersama FC Midtjylland akhirnya terjawab.
Perkara tersebut terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengumumkan senarai 25 pemain dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya, pada hari ini.
Dalam siaran media tersebut, FAM meletakkan kelab yang disertai oleh Dion Cools adalah FK Jablonec yang berpangkalan di Republik Czech.
Ketika ini, kelab berjulukan Galacticos ini berada di kedudukan ke-13 daripada 16 pasukan dalam carta liga utama negara tersebut.
Bagaimanapun, tinjauan di pelbagai platfom laman sosial dan laman sesawangnya tidak menemukan sebarang makluman rasmi mengenai kemasukan Dion Cools bersama kelab ini.
Akan tetapi, perkembangan ini pastinya menutup seketika gosip yang mengaitkan pertahanan versatil ke kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Untuk makluman, Dion Cools dan FC Midtjylland mengumumkan mencapai kesepakatan bersama untuk menamatkan kontrak pada Jumaat lalu.