Dion Cools Sertai FK Jablonec Untuk Jangka Masa Pendek
September 13, 2022 Hafizuddin Omar

Pertahanan kacukan skuad kebangsaan, Dion Cools dimaklumkan menyertai skuad berpangkalan di Republik Czech, FK Jablonec untuk jangka masa pendek sahaja.

Perkara tersebut dikongsikan oleh ejennya, SportPlus Football Management menerusi akaun media sosial selepas FK Jablonec mengumumkan secara rasmi penyertaan pemain berusia 26 tahun bersama pasukan berjulukan Galacticos tersebut.

“Sangat gembira dapat membantu FK Jablonec untuk mendapatkan khidmat Dion Cools bagi jangka masa pendek. Semoga berjaya Dion Cools.” tulis kenyataan oleh pihak ejen tersebut.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan tempoh jangka masa pendek yang dimaksudkan oleh SportPlus Football Management itu. Adakah sehingga jendela perpindahan musim sejuk Januari kelak atau ketika musim panas tahun hadapan?

Sebelum itu, perkembangan mengenai kelab baharu yang disertai oleh Dion Cools ini didedahkan terlebih dahulu oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan, semalam.

Sementara itu, dalam temu bual eksklusif bersama FK Jablonec, Dion Cools menyatakan sebab utama kedatangannya ke kelab ini disebabkan pasukan lamanya, FC Midtjylland tidak dapat menjamin minit permainan yang kerap buatnya. Ini berikutan kelab itu membuat keputusan untuk menukar sistem permainan yang berbeza.

Keutamaannya adalah untuk bermain dan itu menjadi sebab utama Dion Cools bersetuju untuk menyertai FK Jablonec.

Featured Image: FK Jablonec

Komen