Ranking BWF: Tiga Beregu Lelaki Malaysia Berada Dalam ‘Top 10’ Dunia
September 13, 2022 Hafizuddin Omar

Malaysia menjadi negara terbaharu yang mempunyai tiga beregu lelaki yang menghuni kelompok 10 pasangan badminton terbaik dunia selepas Indonesia.

Perkembangan ini hadir selepas kemaskini ranking dunia terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini memperlihatkan gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin melompat ke tangga kesepuluh buat kali pertama dalam karier mereka.

Sze Fei-Izzuddin berada di ranking kesebelas dunia pada minggu lalu. Mereka berhasil menduduki ranking kesepuluh setelah merampas kedudukan itu daripada beregu Korea, Choi Sol-gyu dan Seo Seung Jae.

Ia sekaligus memasukkan mereka dalam kelompok 10 pasangan terbaik bersama-sama dua lagi pasangan negara iaitu Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi (ranking ke-9) dan juara Kejohanan Dunia BWF, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (ranking ke-5).

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai tiga beregu lelaki dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia adalah sekitar 13 tahun yang lalu – pada pertengahan November 2009.

Ketika itu, tiga pasangan negara yang menduduki kelompok tersebut adalah gandingan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong (ranking pertama), Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari (ranking ke-7) serta Choong Tak Fok dan Lee Wan Wah (ranking ke-9).

Berbalik kepada kelompok semasa 10 pasangan lelaki terbaik dunia, kedudukan tiga beregu Indonesia kekal tidak berubah dengan Marcus Gideon-Kevin Sanjaya (ranking pertama), Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan (ranking ke-4) dan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (ranking ke-6).

Baki empat pasangan yang lain adalah beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (ranking ke-2) beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin (ranking ke-3), beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen (ranking ke-7) dan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (ranking ke-8).

Komen