Pasukan yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi, XOX Berhad iaitu Perak FC mengumumkan perlantikan ketua jurulatih yang baharu bagi musim 2023 kelak.
Berdasarkan pengumuman di laman sosialnya hari ini, individu yang dilantiknya bukan calang-calang iaitu bekas jurulatih skuad bawah umur Bayern Munich, Lim Teong Kim.
“Perak FC melantik Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih untuk musim 2023. Selamat pulang ke Malaysia.” tulis kenyataan rasmi sambil mengepilkan foto berjabat tangan antara Teong Kim dan Pengerusi Perak FC, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Difahamkan, Teong Kim yang juga merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 16 tahun (B-16) diberikan kontrak selama 2 tahun dengan pilihan lanjutan selama setahun bersama Perak.
Selain itu, Perak turut memaklumkan Teong Kim akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih skuad berjulukan The Bos Gaurus daripada Yusri Che Lah sejurus tamatnya perlawanan terakhir Liga Premier musim ini menentang Kuching City FC pada 17 September kelak.
Untuk makluman semua, pengalamannya selaku jurulatih skuad bawah umur Bayern Munich, Teong Kim berpeluang mengilap bakat beberapa pemain terkenal dunia pada ketika ini seperti Thomas Muller, David Alaba, Toni Kroos dan Emre Can.
Sementara itu, seperti kita ketahui, Teong Kim juga merupakan individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin pertahanan, Umar Hakim, pemain tengah, Firdaus Kaironnisam dan beberapa yang lain lagi semasa mencurahkan bakti selaku Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Untuk pengetahuan semua, perlantikan ini juga menandakan bermulanya tugasan sulung Teong Kim selaku ketua jurulatih bagi skuad senior dalam karier kejurulatihannya.
Featured Image: Football Association of Malaysia