Artikel

XOX, Perak FC Beri 10,000 Tiket Percuma Untuk Perlawanan Terakhir Liga Premier

Kelab yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi, XOX Berhad iaitu Perak FC mengumumkan menyediakan sejumlah 10,000 keping tiket percuma kepada para penyokongnya untuk perlawanan terakhir Liga Premier musim ini.

Perlawanan tersebut akan menemukan skuad berjulukan The Bos Gaurus dengan Kuching City FC di laman mereka sendiri, Stadium Perak, Ipoh pada 17 September (Sabtu) nanti.

“XOX dan Perak FC komited untuk membalas sokongan peminat yang telah menyokong kelab sepanjang masa sukar pada 2022. Perak FC akan memberikan 10,000 tiket percuma untuk perlawanan terakhir liganya.” tulis kenyataan rasmi kelab.

Untuk makluman, Perak sedang berada di kedudukan tercorot liga selepas mengharungi 17 perlawanan. Namun begitu, Perak berpeluang menamatkan musim ini di kedudukan kesembilan sekiranya meraih kemenangan dan pada masa yang sama Skuad Projek FAM-MSN merekodkan keputusan seri atau tumpas kepada Terengganu II.

Ini juga menjadi perlawanan terakhir buat ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah bersama skuad senior Perak sebelum ianya bertukar tangan kepada bekas pengendali bawah umur Bayern Munich dan skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim. 

Selain tiket percuma, XOX dan Perak dalam pengumuman terbabit turut menawarkan kad sim percuma milik syarikat pengendali rangkaian mudah alih maya (MVNO) kepada para peminat.

“Peminat juga boleh menuntut kad sim percuma dengan data pramuat sebanyak 18GB. Proses tuntutan akan berlangsung di gerai XOX di Stadium Indera Mulia pada 16 dan 17 September 2022, bermula dari 10 pagi hingga 12 malam.” tambah kenyataan itu lagi.

komen