Bagi mengurangkan kes penipuan atas talian (online), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) melantik seramai 104 orang pempengaruh (influencer) dalam kalangan pelbagai latar belakang sebagai duta anti-scam bagi memberi kesedaran terhadap orang ramai.
“Selaku duta mereka akan berkongsi informasi berhubung pencegahan jenayah komersil kepada pengikut laman sosial masing-masing.” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani semasa berucap dalam Majlis Perlantikan Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang turut disiarkan secara langsung di laman sosial milik PDRM, semalam.
Mengetuai senarai duta anti-scam yang diumumkan itu adalah legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei dan bekas pemain No.1 dunia, Roslin Hashim.
Senarai itu diikuti dengan beberapa jaguh negara pada masa kini iaitu perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia, gandingan juara Kejohanan Dunia BWF, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh Liu Ying.
Tambahnya lagi, “Buat masa ini, kita jangkakan dapat (capai sasaran) penurunan (sebanyak) 10% setahun, itu merupakan satu perkembangan yang baik,”
“Jenayah penipuan ini adalah jenayah yang sukar dicegah dan dibendung tapi ia boleh dikawal dengan memberikan pendedahan dan pengetahuan secukupnya kepada setiap ahli anggota masyarakat,”
“Mereka akan menjalankan peranan mereka (sebagai duta) dengan cara mereka tersendiri, tidak ada satu garis panduan yang mereka terikat, penglibatan mereka adalah dimana-mana dan bila-bila masa yang mereka fikirkan sesuai dan dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada seramai mungkin anggota masyarakat kita,”
Selain daripada legenda dan jaguh sukan, pelakon dan selebriti terkenal, Datuk Ahmad Azhar Othman (Awie), Datuk Mohd Shukri Shahabudin (Hattan), Zed Zaidi serta beberapa individu terkenal dan berpengaruh lain termasuk usahawan, pegawai polis dan agamawan.