Pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Terengganu FC terus menghimpit pasukan ketiga Liga Super, Negeri Sembilan FC sekaligus menghampiri slot ke saingan Piala AFC.
Ianya selepas skuad Nafuzi Zain berhasil melakar kemenangan ke atas Penang FC di laman sendiri dalam perlawanan ke-18 Liga Super, sebentar tadi.
Dalam perlawanan terbabit Terengganu berhasil mendapatkan jaringan menerusi Faisal Halim dan Tchetche Kipre minit 37’ dan 45+2’ masing-masing pada separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Tchetche sekali lagi menembusi gawang pada minit 90+1’ dan menjadikan kedudukan 3-0 sebelum pengadil meniup wisel menamatkan permainan.
Dengan kemenangan ini, Terengganu masih berada di tempat keempat namun dapat mengumpul 32 mata – dibezakan hanya 3 mata dengan Negeri Sembilan.
Untuk perlawanan seterusnya, Terengganu akan menghadapi pasukan yang berada di kedudukan kedua liga, Sabah pada 1 Oktober.
Sementara itu, Negeri Sembilan akan menghadapi pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dengan kemenangan JDT dalam saingan Piala FA baru-baru ini serta berada dalam keadaan selesa untuk merangkul kejuaraan Liga Super pada musim ini, dua slot Piala AFC 2023 hampir pasti diberikan kepada pasukan yang menduduki tangga kedua dan ketiga liga.
Featured Image: MFL