Pertahanan kacukan skuad kebangsaan, Dion Cools tidak menunggu lama untuk memberikan impak kepada pasukan baharunya, FK Jablonec.
Baru sahaja diumumkan menyertai kelab terbabit Isnin lalu, Dion Cools berhasil menembus masuk kesebelasan utama ketika pasukannya turun menentang pasukan divisyen ketiga, Motorlet Praha dalam aksi Pusingan 2 Piala Czech.
Bukan itu sahaja, kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih, David Horejš dibalasnya dengan menjaringkan gol voli yang cukup cantik setelah menerima hantaran lambung daripada rakan sepasukan, Housky sekitar minit 17’.
Jaringan sulung Dion Cools bersama FK Jablonec!!! pic.twitter.com/pk3YoMvmPC
— Hafiz Omar (@hvfizomvr) September 14, 2022
Gol tersebut bukan sahaja menjadi jaringan sulungnya bersama kelab berjulukan Galacticos ini bahkan dalam kancah bola sepak Republik Czech itu sendiri.
Selain itu, Dion Cools juga dapat beraksi penuh tanpa ditukarkan oleh ketua jurulatihnya sepanjang permainan.
Selepas jaringannya itu, tiga rakan sepasukannya, Jakub Martinec, Honza Chramosta dan Jan Chramosta berjaya menambah satu gol masing-masing.
Jaringan-jaringan tersebut telah membantu FK Jablonec menamatkan perlawanan dengan keputusan yang cukup bergaya 4-0 sekaligus membolehkan mereka mara ke Pusingan 3.
Untuk pengetahuan semua, saingan Piala Czech atau nama komersilnya, Piala Mol merupakan kejohanan bola sepak kalah mati seumpama saingan Piala FA di Malaysia.
Featured Image: FK Jablonec