Saingan bola sepak Malaysia akan menutup tirainya dalam tempoh dua bulan setengah sahaja lagi namun ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memaklumkan dirinya belum mendapat sebarang tawaran untuk melanjutkan kontraknya pada musim hadapan.
Penghujung tahun lalu, Nafuzi dilanjutkan kontrak selama setahun oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) TFC dan ianya akan tamat pada penghujung November kelak.
Dalam keadaan tidak menerima sebarang tawaran untuk lanjutan kontrak pada saat ini, jurulatih yang bakal menjengah usia 44 tahun Oktober kelak tidak menolak ini menjadi musim terakhirnya bersama skuad pantai timur itu.
“Saya belum mendapat apa-apa tawaran sebagai ketua jurulatih (untuk musim hadapan), mungkin saya perlu untuk karier (dan) kerjaya saya membuat persediaan,
“Bagi saya (ini) mungkin masa yang sesuai buat saya mencari pengalaman dan cabaran baru untuk mengembangkan karier saya sebagai jurulatih,”
“Apa pun, saya sangat sayang Terengganu, keluarga saya pun suka Terengganu, tetapi untuk kerjaya, pengalaman (dan) mengembangkan karier, saya perlu mencari cabaran baharu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.
Walaupun memberi bayangan tidak mengendalikan TFC pada musim hadapan, Nafuzi tetap komited untuk membawa pasukan ini menamatkan saingan Liga Super sekurang-kurangnya di tempat ketiga sekaligus layak beraksi di pentas Piala AFC 2023 kelak.
“Tetapi untuk TFC saya akan bagi yang terbaik untuk karier dan pencapaian saya dan juga pemain sendiri, untuk layak ke Piala AFC dan Insya-Allah ke perlawanan akhir Piala Malaysia,” tambahnya lagi.
Sebagai rekod, Nafuzi mula dipertanggungjawabkan sebagai ketua jurulatih interim TFC bermula pertengahan 2019 sebelum dilantik secara penuh pada penghujung tahun tersebut.
Pada penghujung 2021, berlaku ‘drama’ dimana pihak pengurusan TFC membiarkan Nafuzi ‘tergantung tanpa tali’ apabila kontraknya tamat pada 30 November.
BOD TFC hadir mengumumkan tawaran kontrak baharu selama satu tahun kepada Nafuzi enam hari kemudian – di saat majoriti pasukan lain telah mempersiapkan barisan kejurulatihan serta barisan pemain untuk mengharungi musim 2022.
Featured Image: Terengganu FC