Dortmund Bertandang Ke Asia Tenggara Bertemu Kelab Singapura, Indonesia & Vietnam Semasa Piala Dunia
September 15, 2022 Hafizuddin Omar

Kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund mengumumkan akan bertandang ke rantau asia tenggara ketika saingan liga direhatkan semasa berlangsungnya kejohanan Piala Dunia pada November dan Disember kelak.

Dortmund dalam satu kenyataannya memaklumkan akan menjelajah ke Singapura, Indonesia dan Vietnam dan menentang kelab daripada setiap negara berkenaan bermula 21 November sehingga 1 Disember nanti.

Jelajah ini akan disertai para pemain yang tidak terpiliha mewakili negara masing-masing dalam saingan Piala Dunia di Qatar termasuk kalangan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) dan bawah 19 tahun (B-19) mereka.

Sejurus pengumuman ini, Lion City Sailors FC yang merupakan rakan kerjasama skuad The Black and Yellows di rantau ini mengesahkan menjadi salah satu lawan buat Dortmund dalam kempen jelajah ini.

Selain itu, kelab berpangkalan di Indonesia, Persebaya Surabaya turut mengumumkan menjadi lawan buat Dortmund bersama-sama Persib Bandung. Perkara itu mendapat pengesahan daripada perwakilan Dortmund bagi rantau asia pasifik, Dr. Suresh Letchmanan.

Bagaimanapun, tarikh pertemuan antara Dortmund menentang ketiga-tiga kelab ini belum dimaklumkan secara rasmi termasuk kelab yang akan dihadapi mereka di Vietnam.

Featured Image: Borussia Dortmund

Komen