Artikel

King’s Cup: Trinidad & Tobago Bawa Pemain Yang Pernah Beraksi Tumpaskan Real Madrid Di Bernabeu

Salah sebuah pasukan yang akan beraksi dalam saingan King’s Cup di Chiang Mai, Thailand iaitu Trinidad & Tobago membawa lapan pemain yang berkelana di eropah bagi menghadapi Tajikistan serta skuad Gajah Perang atau Malaysia pada minggu ini.

Salah seorang yang disenaraikan oleh ketua jurulatihnya, Angus Eve adalah bek kiri yang beraksi bersama kelab berpangkalan di Moldova, FC Sheriff Tiraspol yang bernama Keston Julien. 

Pemain berusia 23 tahun ini menyertai FC Sheriff sejak Ogos 2020 mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi bola sepak eropah iaitu Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Pengalaman itu hadir ketika FC Sheriff bukan sahaja mara buat julung kalinya dalam kancah UCL malah turut mencipta sejarah selaku kelab Moldova yang pertama beraksi di pentas itu, musim lalu.  Skuad berjulukan The Wasps ini telah diundi menghuni Kumpulan D bersama-sama gergasi Sepanyol, Real Madrid serta Inter Milan dan Shakhtar Donetsk.

Musim tersebut menyaksikan Keston berhasil meraih tiga penampilan ketika walaupun sekadar masuk sebagai pemain gantian dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut. Paling manis, dia turut beraksi ketika pasukannya berjaya mengejutkan Real Madrid dengan keputusan 2-1 di Stadium Santiago Bernabeu.

Bagi musim ini, FC Sheriff tidak berhasil ke saingan UCL namun tetap beraksi di pentas eropah dalam saingan Liga Europa. Kali ini, mereka menduduki Kumpulan E bersama-sama Manchester United, Real Sociedad dan Omonia FC.

Trinidad & Tobago turut menyenaraikan dua adik beradik yang beraksi bersama kelab Greece, AEK Athens iaitu Levi Garcia (24 tahun) dan Judas Garcia (21 tahun) yang merupakan penyerang dan pemain tengah masing-masing.

Selain itu, Angus turut membawa dua pertahanan yang beraksi dalam kancah liga divisyen satu Finland iaitu Anthony Herbert (24 tahun) dan Kareem Moses (32 tahun) yang beraksi bersama FC Haka dan Vaasan Palloseura masing-masing. Seorang lagi pertahanan, Sheldon Bateau (31 tahun) pula beraksi bersama SK Beveren dalam kancah divisyen dua Belgium.

Salah seorang penjaga gol yang dibawa ke Chiang Mai, Nicklas Frenderup (29 tahun), kelahiran Denmark pula merupakan pemain Ranheim IL yang beraksi dalam divisyen dua Norway.

Tidak dilupakan, pemain tengahnya yang berusia 21 tahun, Daniel Phillips juga beraksi di eropah bersama kelab Scotland, St Johnstone. Daniel merupakan kelahiran London, England dan memulakan karier bola sepak bersama skuad bawah umur Watford.

Manakala baki 12 yang lain merupakan pemain yang beraksi di negara-negara rantau amerika utara dan tengah, termasuk kancah Major League Soccer (MLS) dan saingan bawahan di negara Uncle Sam.

Featured Image: Instagram Keston Julien

komen