Bekas Pengendali Shakhtar Donetsk Isi Kekosongan Di Brighton – Kontrak 4 Tahun
September 19, 2022 Hafizuddin Omar

Kekosongan yang ditinggalkan oleh Graham Potter di Brighton & Hove Albion nampaknya telah menemui penyandangnya yang baharu. Menerusi satu pengumuman rasmi kelab pada hari ini, Roberto de Zerbi diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad berjulukan Seagulls itu dengan kontrak selama empat tahun.

De Zerbi, 43 tahun, kelahiran Brescia, Itali merupakan bekas pengurus kelab Ukraine iaitu Shakhtar Donetsk. Ketika mengemudi kelab tersebut, De Zerbi berhasil meraih Ukrainian Super Cup.

Selain itu, De Zerbi yang menyertai Shakhtar bermula Mei 2021 berhasil membimbing kelab ini mengungguli Liga Ukraine sebelum ianya ditamatkan awal ekoran konflik Ukraine-Rusia. 

Jodohnya bersama Shakhtar juga tidak begitu panjang. De Zerbi mencapai kesepakatan bersama kelab untuk menamatkan kontraknya lebih awal dan meninggalkan Shakhtar pada Julai 2022 – ekoran konflik yang sama.

Sebelum bersama Shakhtar, De Zerbi mencipta namanya dalam karier kejurulatihan bersama kelab-kelab negara kelahirannya seperti Sassuolo, Benevento, Palermo, Foggia dan Darfo Boario.

Difahamkan, De Zerbi bersama-sama barisan kejurulatihannya akan memulakan tugas bersama Brighton selepas rehat antarabangsa FIFA – bertemu Liverpool di Anfield.

Sebagai rekod, ketua jurulatih sebelum ini, Potter, berpisah dengan Brighton selepas menerima tawaran untuk membimbing pasukan berpangkalan di London, Chelsea.

Featured Image: Shakhtar Donetsk

Komen