Luis Suarez Sekadar Transit Bersama Kelab Zaman Remajanya, Nacional?
September 20, 2022 Hafizuddin Omar

Kelibat penyerang prolifik Uruguay, Luis Suarez bersama kelab zaman remajanya, Club Nacional de Football tidak akan berpanjangan. Dimaklumkan, penyerang berusia 35 tahun ini akan meninggalkan kelab ini setelah tamatnya saingan Liga Uruguay pada Oktober nanti.

Suarez menyertai kembali Nacional pada penghujung Julai lalu setelah tamat kontraknya bersama Atletico Madrid. Dia masih terbukti tajam di hadapan gawang dengan berhasil menjaringkan empat gol daripada lapan penampilannya setakat ini. 

Perkembangan mengenai tempoh pendeknya bersama Nacional didedahkan sendiri oleh presiden kelab, Jose Fuentes sepertimana ditulis Football Espana yang memetik laporan ESPN Uruguay.

“Apabila kejuaraan Uruguay tamat, Suarez akan pergi, begitulah kami mengatur perjanjian dengannya, itu yang dipersetujui dan dia melakukan usaha besar untuk datang ke sini,”

“Saya berkata begini bagi mengelakkan jangkaan (berlebihan) peminat. Kami telah bertanyakan kepadanya, dan dia menjawab perkara yang sama seperti sebelum ini,” kongsi Fuentes.

Ini bermakna, Suarez akan bergelar sebagai ejen bebas (free agent) selepas bulan Oktober nanti dan bebas untuk menyertai mana-mana kelab termasuk di eropah – sepertimana hasratnya sebelum ini.

Difahamkan, penyertaan jangka masa pendek Suarez bersama Nacional ini sebagai persiapannya untuk menyertai skuad kebangsaan Uruguay di kejohanan Piala Dunia yang bermula November kelak.

Selain itu, khidmat Suarez turut dipanggil oleh ketua jurulatih Uruguay, Diego Alonso untuk menghadapi Iran dan Kanada pada rehat antarabangsa FIFA, minggu ini.

Featured Image: Nacional

Komen