Ranking BWF: Gandingan Hoki-Kobayashi Rampas Kedudukan No.1 Dunia Daripada ‘The Minions’
September 20, 2022 Hafizuddin Omar

Akhirnya, takhta beregu lelaki No.1 dunia yang dipegang oleh gandingan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo bertukar tangan selepas lebih empat tahun.

Gandingan yang terkenal dengan julukan ‘The Minions’ itu hilang takhta berkenaan kepada beregu Jepun yang kian meningkat naik, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi, bermula minggu ini.

Kemaskini terbaru ranking dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari memperlihatkan Hoki-Kobayashi mempunyai 102,050 mata mengatasi 100,327 yang dimiliki oleh Marcus-Kevin.

Gandingan pemain yang berusia 31 dan 27 tahun masing-masing ini mengalami penurunan sebanyak 4,400 mata berbanding pada minggu lalu. Penurunan itu berlaku atas faktor penolakan beberapa mata yang dipungut daripada beberapa kejohanan tahun 2019 lalu.

Sebagai rekod, Marcus-Kevin menghuni ranking No.1 dunia selama 214 minggu berturut-turut sejak 27 September 2017.

Sementara itu, ini merupakan julung kalinya Hoki-Kobayashi berhasil menghuni tangga No.1 dunia dalam karier mereka. Peningkatan gandingan yang dibimbing oleh jurulatih Malaysia, Tan Kim Her ini mulai ketara sekitar Oktober 2021.

Ianya bermula dengan menjuarai Terbuka Denmark, Indonesia Masters, Jelajah Dunia Akhir BWF serta merangkul kejuaraan Kejohanan Dunia BWF 2021. Pencapaian mereka pada tahun ini tidak kurang hebatnya dengan telah menjuarai saingan Terbuka Thailand dan Terbuka Malaysia.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen