Bagaimana Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimiliki oleh Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) menukar 11 jurulatih dalam tempoh 10 tahun serta ramai pemain tidak menggugat prestasi pasukan?
Sejak tahun 2014, skuad berjulukan Harimau Selatan tidak pernah terlepas untuk merangkul kejuaraan Liga Super pada setiap tahun. Bahkan, JDT juga semakin menghampiri untuk merangkul kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut, musim ini.
Terbaru, JDT yang baru sahaja menggantikan Benjamin Mora dengan Hector Bidoglio berjaya merangkul kejuaraan Piala FA setelah menumpaskan Terengganu FC 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), 10 September lalu.
Perkara tersebut mahu ditanyakan oleh TMJ kepada para penyokong JDT dalam Sesi Soal & Jawab (Q&A) Bersama Penyokong di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bermula pada jam 8 malam nanti.
“Dulu bertahun-tahun, sikit-sikit Mora Out. Sekarang nak Mora balik. Time (Masa) Mora, semua asyik complain tak habis-habis passing belakang, game slow, taktikal tak bagus dan macam-macam lagi.” tulis baginda di ruangan komen Instagram yang memaklumkan mengenai sesi jawab berkenaan.
Bukan sahaja merangkul pelbagai trofi kejuaraan, kelab berpangkalan di selatan semenanjung tanah air ini juga mencapai pelbagai kejayaan lain di dalam dan luar padang.
Dalam sesi itu juga, TMJ turut akan berkongsikan perkara-perkara terkini dan perancangan masa hadapan melibatkan JDT kepada para penyokong.
Pada masa yang sama, baginda turut membuka ruang kepada “orang-orang expert” bola sepak bersertakan fakta dan statistik untuk menanyakan soalan “power power” kepadanya.
“Jangan pandai dalam media sosial sahaja,” tambah baginda lagi.
Untuk makluman semua, sesi ini akan turut ditayangkan secara langsung menerusi akaun Facebook, JOHOR Southern Tigers.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers