Park Hang-seo Tidak Mahu Ikut Jejak Langkah Naturalisasi Cara Malaysia & Indonesia
September 20, 2022 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo hanya akan mengambil pemain yang mempunyai pertalian darah dengan negara itu sahaja untuk beraksi bersama skuad kendaliannya.

Jurulatih kelahiran Korea itu menolak untuk menaturalisasikan pemain yang langsung tidak mempunyai darah negara tersebut sepertimana Malaysia menaturalisasikan Guilherme de Paula atau Indonesia menaturalisasikan Beto Goncalves.

Bagaimanapun, Hang-seo termasuk majikannya, Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) tidak mempunyai banyak informasi mengenai pemain berdarah Vietnam yang beraksi di luar negara. Justeru, sukar buatnya untuk mencari pemain kacukan atau berdarah Vietnam untuk dinaturalisasikan bagi beraksi bersama skuadnya.

“Jika pemain itu mempunyai pertalian darah Vietnam dan mempunyai kewarganegaraan Vietnam, mereka boleh menjadi pemain skuad kebangsaan Vietnam.

“Saya tidak tahu berapa banyak pemain seperti itu yang bermain di luar. VFF tidak memiliki banyak informasi untuk diberikan. Jika ada, saya akan mencari sendiri di internet.” katanya seperti dipetik daripada Soha oleh CNN Indonesia dalam sidang media menjelang kejohanan tiga penjuru anjuran VFF, hari ini.

Hang-seo berkata dia hanya mengetahui mengenai seorang penjaga gol yang mempunyai darah Vietnam, Filip Nguyen yang beraksi di Republik Czech. Selain itu, Hang-seo berkongsikan pernah ke Norway untuk melihat aksi penyerang, Alexander Dang, kelahiran pasangan Vietnam dan Norway.

Tambahnya lagi, beberapa pasukan (asia tenggara) giat menaturalisasikan pemain. Pada pendapatnya, menaturalisasikan pemain mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Hang-seo tidak mengatakan setuju atau membangkang perkara tersebut dan ianya bergantung kepada undang-undang negara (dalam memberikan kerakyatan).

Untuk makluman, Vietnam akan menghadapi Singapura (21 September) dan India (27 September) dalam VFF Tri-Nations Series 2022 bersempena dengan rehat antarabangsa FIFA, minggu ini.

Sementara itu, Vietnam juga menjadi lawan buat skuad negara di peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF yang akan berlangsung hujung tahun ini.

Featured Image: VFF

Komen