Semi-finalis musim lalu, Melaka United FC tidak akan menyertai saingan Piala Malaysia 2022. Ianya berikutan skuad kendalian Asri Ninggal disekat penyertaannya oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL).
Keputusan itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL susulan Melaka United atau skuad berjulukan Hang Tuah ini gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya.
MFL dalam kenyataannya pada hari ini, memaklumkan, Melaka United telah menerima notis peringatan pada 6 September 2022 untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 September 2022. Bagaimanapun Melaka United hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022 setakat hari ini (21 September 2022).
Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa Melaka United FC tidak dibenarkan beraksi dalam kejohanan TM Piala Malaysia 2022 susulan kegagalan kelab berkenaan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.
Baca lanjut ⤵️#TMPialaMalaysia2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 21, 2022
Pada masa yang sama, MFL turut mengingatkan Melaka United agar menyelesaikan baki tunggakan gaji tersebut bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen untuk bersaing dalam Liga Malaysia 2023.
Sementara itu, sebuah lagi pasukan yang mempunyai masalah yang sama, Sarawak United FC telah mencapai persetujuan bersama para pemain dan pegawainya berkenaan bayaran tunggakan gaji bulan Ogos 2022.
Berkenaan dengan pasukan yang akan menggantikan slot Melaka United dalam saingan Piala Malaysia, MFL akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.
Featured Image: Melaka United FC