Ligue 1 Paling Ganas, Layang 34 Kad Merah Dalam 8 Perlawanan – Tertinggi Kalangan 5 Liga Utama Eropah
September 21, 2022 Hafizuddin Omar

Saingan baharu bola sepak eropah musim 2022-23 baru sahaja memasuki sekitar 6 hingga 8 perlawanan sebelum semuanya berehat pada minggu ini bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa FIFA.

Walaupun perjalanan kebanyakan saingan liga-liga di eropah ini belum memasuki suku musim, saingan tertinggi Perancis, Ligue 1 tampil sebagai kancah paling bermasalah dan ganas dalam kalangan lima liga utama eropah – Sepanyol, Itali, Jerman dan England.

Selepas berlangsungnya 8 perlawanan, pengadil-pengadil dalam saingan Ligue 1 telah melayangkan 34 kad merah atas pelbagai kesalahan dan kekasaran yang dilakukan.

Lebih mengejutkan, 20 daripadanya merupakan layangan terus kad merah (straight red card) dan baki 14 layangan kad merah lagi terhasil selepas mengumpul dua kad kuning.

https://twitter.com/football34_2/status/1571506774901161985?s=20&t=2KjvIr5VS5wohopFhHo4jw

Ini termasuk layangan kad merah dalam tempoh 9 saat selepas pengadil meniup wisel memulakan permainan kepada pertahanan Nice, Jean-Clair Todibo semasa menentang Angers pada Ahad lalu.

Sebagai perbandingan, saingan bola sepak Sepanyol, La Liga muncul di tangga kedua dengan rekod sebanyak 21 layangan kad merah selepas melangsungkan 6 perlawanan.

Manakala di tangga ketiga dan keempat, ianya dihuni oleh saingan bola sepak Itali, Serie A dan Jerman, Bundesliga dengan rekod 15 dan 12 layangan kad merah daripada 7 perlawanan masing-masing. 

Saingan bola sepak England, Liga Perdana Inggeris (EPL) muncul sebagai liga paling kurang bermasalah dengan pengadil melayangkan sebanyak empat kad merah sahaja daripada tujuh perlawanan yang telah dilalui.

Untuk makluman, kancah bola sepak eropah akan bersambung semula pada Oktober nanti.

Komen