Jelajah Trofi Piala AFF Singgah Di Kuala Lumpur Pada 22 Oktober
September 21, 2022 Hafizuddin Omar

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) akan menganjurkan Jelajah Trofi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di lima buah negara sepanjang tiga bulan berikutnya bagi membina kehangatan sebelum sepak mula kejohanan pada penghujung tahun ini.

Menerusi kenyataan media AFF, jelajah ini akan bermula di Bangkok, Thailand pada 24 September diikuti dengan Singapura (15 Oktober), Kuala Lumpur, Malaysia (22 Oktober), Jakarta, Indonesia (26 November) dan akhir sekali, Ho Chi Minh, Vietnam (3 Disember).

Acara ini boleh dihadiri oleh penyokong secara percuma. Di setiap lokasi jelajah ini, ianya akan dimeriahkan dengan kehadiran istimewa legenda bola sepak tempatan masing-masing.

Selain berpeluang untuk bergambar dengan trofi Piala AFF dan legenda istimewa yang hadir, pengunjung akan turut disajikan dengan beberapa permainan dan cabaran berserta hadiah untuk dimenangi.

Sebagai tambahan, AFF dan Mitsubishi Electric mengumumkan akan melancarkan sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) baharu dengan menganjurkan Klinik Bola Sepak yang memfokuskan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan di lima buah negara ini.

Lokasi dan waktu acara yang akan berlangsung di Kuala Lumpur akan diumumkan oleh AFF menerusi laman sesawang rasminya kelak.

Komen