SUKMA XX: Tze Yong Bertemu Aidil Sholeh Di Peringkat Separuh Akhir
September 22, 2022 Hafizuddin Omar

Calon utama untuk merangkul pingat emas bagi kategori perseorangan lelaki dalam temasya SUKMA XX, Ng Tze Yong akan bertemu Aidil Sholeh di peringkat separuh akhir, esok.

Tze Yong yang mewakili Johor berhasil mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir selepas menumpaskan pemain Pahang, Chia Jeng Hon secara “straight set” dengan skor 21-13 dan 21-12 di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Sementara itu, Aidil yang mewakili Selangor pula menempah tiket separuh akhir setelah menyingkirkan wakil Melaka, Ong Ken Yon juga secara “straight set” dengan pungutan mata 21-19 dan 21-15.

Sebagai rekod, Tze Yong dan Aidil yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pernah menentang sesama sendiri sebanyak satu kali di pentas antarabangsa.

Pertemuan tersebut berlangsung pada tahun lalu juga di peringkat separuh akhir dalam kejohanan Terbuka Scotland. Dan pertarungan tersebut berpihak kepada Tze Yong dengan keputusan 21-15 dan 21-15.

Sebagai perbandingan ranking dunia semasa bagi kedua-dua pemain, Tze Yong kini berada di tangga ke-36 dan Aidil pula di tangga ke-94 dunia masing-masing.

Manakala satu lagi pertarungan separuh akhir perseorangan lelaki SUKMA XX menemukan wakil Kedah, Jacky Kok Jing Hong dengan wakil Wilayah Persekutuan, Leong Jun Hao.

Komen