MTA Anjur Malaysian Teqball Grand Prix Bermula Januari Hingga November 2023
September 22, 2022 Hafizuddin Omar

Bagi mencapai sasaran untuk mengembangkan atlet teqball kebangsaan dari peringkat akar umbi, Persatuan Teqball Malaysia (MTA) akan hadir dengan satu kejohanan ulungnya – Malaysia Teqball Grand Prix pada tahun hadapan.

Menerusi satu kenyataan rasmi badan induk terbabit, kejohanan tersebut dijadualkan bermula Januari hingga November serta dilangsungkan di lapan buah lokasi berbeza di seluruh negara.

Pada masa yang sama, MTA turut mendedahkan akan berbincang dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengenai kebarangkalian membentuk kerjasama untuk penganjuran kejohanan tersebut.

Selain itu, MTA juga sedang meneliti prospek untuk memperbadankan kejohanan ini sebagai sebuah syarikat – mencontohi penswastaan yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) bagi saingan bola sepak tempatan Malaysia.

Untuk pengetahuan semua, teqball merupakan sejenis sukan yang menggabungkan elemen bola sepak dan ping pong. Pemain perlu memainkan bola tersebut seperti bermain ping pong menggunakan mana-mana anggota badan kecuali tangan dan lengan. Dan ianya dimainkan di atas meja melengkung khas (teq table). 

Permainan ini bermula pada tahun 2014 di Budapest, Hungary dan berkembang ke seluruh dunia selepas daripada itu. Di Malaysia sendiri, MTA ditubuhkan bermula tahun 2018 dan dipimpin oleh Siva Kumar Jakarathan.

Komen