SUKMA XX: Letshanaa Kejutkan Myisha, Mara Ke Separuh Akhir Bertemu Zhing Yi
September 22, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan wanita yang kini bergerak secara bebas (independent), Karupathevan Letshanaa melakar kejutan dalam acara badminton di temasya SUKMA XX dengan menumpaskan wakil Johor, Myisha Mohd. Khairul di peringkat suku akhir, hari ini.

Berdasarkan ranking dunia, Letshanaa yang mewakili Selangor dan menduduki tangga ke-498 ini berjaya menumpaskan Myisha, tangga ke-198, merangkap juara Siri Antarabangsa Belanda 2022 secara “straight set” dengan skor 23-21 dan 21-13. 

Kejayaan itu membolehkannya melangkah ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung, esok. Menantinya di peringkat ini adalah wakil Pulau Pinang, Tan Zhing Yi yang berada di tangga ke-278 dunia.

Zhing Yi pula mengesahkan kemaraan ke peringkat yang sama setelah menundukkan pemain Wilayah Persekutuan, Ong Xin Yee dengan pungutan mata 21-14 dan 21-15.

Sementara itu, satu lagi pertarungan peringkat separuh akhir menemukan seorang lagi wakil Selangor, Siti Nurshuhaini Azman dan Wilayah Persekutuan, Amanda Yap Hwa Leng.

Untuk makluman semua, ini merupakan kejohanan kompetitif pertama yang disertai Letshanaa selepas hampir setahun berehat ekoran kecederaan. Kejohanan terakhir yang disertainya adalah Terbuka Czech sekitar Oktober tahun lalu.

Ekoran kecederaan yang membelenggu, dia bertindak menghantar surat perletakan jawatan bagi berundur daripada skuad kebangsaan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Januari lalu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen