King’s Cup: Malaysia Singkir Tuan Rumah Di Hadapan Penyokong Sendiri
September 22, 2022 Hafizuddin Omar

Kehadiran semula Malaysia dalam saingan King’s Cup kali ini diserikan dengan menyingkirkan tuan rumah, Thailand di peringkat separuh akhir.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon melakar kejayaan tersebut dengan memenangi penentuan sepakan penalti. 

Sebelum itu, ketika beraksi selama 90 minit permainan, Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi “wing-back” kiri, La’vere Corbin-Ong pada babak pertama.

Thailand yang beraksi sambil disaksikan penyokong sendiri di 700th Anniversary Stadium, Chiang Mai cuba menterbalikkan kedudukan tersebut pada babak kedua dengan meningkatkan asakan ke arah gawang Malaysia.

Kekebalan penjaga gol negara, Ahmad Syihan serta kekentalan barisan pertahanan yang diketuai Dion Cools berhasil mengekang hampir keseluruhan percubaan skuad Gajah Perang.

Sayangnya ianya tetap bocor di penghujung permainan hasil jaringan Pansa Hemviboon sekaligus menjadikan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1.

Dengan kemenangan ini, Malaysia berhasil melayakkan diri ke perlawanan akhir dan bertemu Tajikistan pada 25 September kelak.

Manakala Thailand pula akan bertemu Trinidad & Tobago untuk merebut tempat ketiga.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen