Cabaran Antarabangsa Chattisgarh: Pemain Ranking 113 Dunia Sekat Jin Wei Ke Suku Akhir
September 23, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain tuan rumah yang menghuni ranking ke-113 dunia, Tasnim Mir menjadi batu penghalang kepada perseorangan wanita bebas (independent) negara, Goh Jin Wei ke peringkat suku akhir Cabaran Antarabangsa Chattisgarh India 2022.

Pertembungan peringkat Pusingan 16 yang menemukan kedua-dua pemain petang semalam menyaksikan Jin Wei tumpas secara “straight set” kepada Tasnim dengan skor  19-21 dan 17-21 dalam tempoh sekitar setengah jam permainan.

Keputusan itu sekaligus mengekang kemaraan Jin Wei yang merupakan pilihan ketiga untuk menjuarai kejohanan ini. Manakala Tasnim yang berjaya ke peringkat suku akhir akan bertemu pemain senegaranya, Mansi Singh yang menghuni ranking ke-256 dunia.

Sebelum itu, Jin Wei cemerlang melangkah ke peringkat Pusingan 16 apabila mengalahkan lawannya, Tanvi Reddy Andluri dalam tempoh 18 minit permainan sahaja di Pusingan 32.

Di Pusingan 64 pula, Jin Wei menyingkirkan pemain India berkedudukan ke-520 dunia, Drithi Yatheesh secara “straight set” dalam tempoh 26 minit.

Dengan berakhirnya kempen di India ini, Jin Wei akan mengalihkan tumpuannya ke saingan Terbuka Vietnam – Jelajah BWF Super 100 – yang akan membuka tirainya pada 27 September, minggu hadapan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen