Tajikistan muncul juara buat pertama kali saingan King’s Cup yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).
Kejuaraan itu dicetak setelah menundukkan Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Petar Sagrt memenangi penentuan sepakan penalti tersebut dengan skor 3-0. Ketiga-tiga taruhan awal skuad negara iaitu Dion Cools, Nazmi Faiz dan Safawi Rasid gagal menjaringkan sebarang gol sekaligus memberikan kemenangan kepada Tajikistan.
Sebelum itu, aksi 90 minit permainan yang berlangsung di 700th Anniversary Stadium, Ciang Mai dalam keadaan hujan lebat antara Malaysia dan Tajikistan terikat tanpa sebarang jaringan.
Keputusan itu didorong oleh kecemerlangan penjaga gol negara, Syihan Hazmi yang mengekang beberapa percubaan tepat daripada pemain Tajikistan sepanjang permainan tersebut.
Ini menjadikan Malaysia menamatkan kempen King’s Cup edisi kali ke-48 selaku naib juara.
Sementara itu, tuan rumah, Thailand pula menamatkan kempen ini selaku pasukan di tempat ketiga selepas berjaya menumpaskan Trinidad & Tobago, petang tadi.
Featured Image: Football Association of Malaysia