Artikel

Harimau Malaya Duduki Ranking 146 Dunia Selepas Muncul Naib Juara King’s Cup

Malaysia berhasil menamatkan Saingan King’s Cup Kali Ke-48 anjuran Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) sebagai naib juara setelah tumpas dalam penentuan sepakan penalti kepada Tajikistan, semalam.

Walaupun terlepas gelaran juara, skuad Harimau Malaya berhasil meraih peningkatan yang positif dalam kedudukan ranking dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) selepas bertemu Tajikistan dan Thailand.

Laman sosial yang memberikan perkembangan terkini mengenai ranking bola sepak negara-negara asia, Footy Rankings meletakkan Malaysia menghuni tangga ke-146 – meningkat dua anak tangga berbanding kedudukan pada saat ini.

Peningkatan itu terhasil selepas Malaysia meraih tambahan 1.16 mata dan 3.57 mata selepas seri menentang Tajikistan (kalah penalti) dan Thailand (menang penalti) masing-masing.

Untuk makluman, kedudukan dunia tangga ke-146 dan ke-147 dunia pada ketika ini dihuni oleh Botswana dan Hong Kong masing-masing.

Sementara itu, rehat antarabangsa FIFA pula masih berlangsung sehingga ke hari esok (27 September). Masih terdapat beberapa negara yang akan melakukan perlawanan antarabangsa dan boleh memberikan kesan terhadap kedudukan ranking Malaysia.

Sebagai tambahan, FIFA akan melakukan kemaskini berikutnya pada 6 Oktober kelak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen