Artikel

Juara Liga M3, PIB FC Bawa Pulang RM100,000 & Mara Ke Play-Off Liga Super

Kelab amatur, PIB Football Club (PIB FC) membawa pulang hadiah ganjaran berupa wang tunai bernilai RM100,000 apabila berjaya muncul juara bagi saingan bola sepak divisyen ketiga tanah air, Liga M3 2022.

Gelaran juara menjadi milik PIB FC setelah berjaya menumpaskan Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers) 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan bimbingan K. Ramachandran dan Zamri Hassan masing-masing terikat 1-1 selepas berentap selama 120 minit masa permainan.

Sementara itu, KL Rovers yang muncul naib juara pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut membawa hadiah ganjaran berupa pulang wang tunai berjumlah RM50,000.

Sementara itu, tidak seperti edisi terdahulu, juara dan naib juara akan mendapat promosi ke saingan divisyen kedua bola sepak negara iaitu Liga Premier.

Ini kerana saingan Liga Premier dihentikan buat seketika oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) bermula tahun hadapan sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak.

Namun begitu, PIB FC dan KL Rovers mendapat “bonus” yang lebih besar kerana berpeluang untuk beraksi dalam perlawanan play-off Liga Super menentang dua pasukan tercorot dalam saingan Liga Premier musim ini.

Bagaimanapun, sekiranya PIB FC dan KL Rovers memenangi aksi play-off ini, kelayakan untuk menyertai saingan Liga Super 2023 masih tertakluk kepada syarat-syarat Peraturan Perlesenan Kelab dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Featured Image: PIB Football Club

komen