Artikel

JDT Muncul Kelab Bola Malaysia Pertama Bentuk Kerjasama Dengan Socios.com

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menampilkan kerjasama baharunya bersama platform “fans engagement” dan ganjaran antarabangsa, Socios.com, pada hari ini. Kerjasama dengan platform terkemuka ini meletakkan skuad berjulukan Harimau Selatan ini yang pertama dalam kalangan kelab-kelab bola sepak di Malaysia berbuat demikian. 

Dengan kerjasama ini, JDT akan mempunyai aset digital yang dikenali sebagai Fan Token tersendiri iaitu $JDT sama seperti kelab-kelab antarabangsa yang turut bekerjasama dengan Socios.com seperti Paris Saint-Germain ($PSG), Barcelona ($BAR), Juventus ($JUV), Manchester City ($CITY) dan lain-lain lagi.

Fan Token ini berfungsi seperti kunci untuk mengakses komuniti digital dimana para peminat dan penyokong JDT dapat menggunakannya untuk mengambil bahagian dalam pertandingan, undian kelab dan “prediction” dijalankan oleh kelab. Ia turut memberikan akses kepada ganjaran yang merangkumi barangan cenderahati kelab, tiket-tiket VIP dan pengalaman unik bersama kelab.

Menggunakan Fan Token ini juga, para penyokong dan peminat JDT dapat membuat undian dalam sesuatu keputusan yang mahu dilakukan oleh kelab. Sebagai contoh, memberikan nama kepada pusat latihan atau elemen-eleman di dalam stadium, nombor yang akan dipakai oleh pemain baharu, lagu yang akan dimainkan selepas setiap jaringan gol dan banyak lagi.

Tidak dilupakan, pemegang Fan Token turut berpeluang memenangi hadiah istimewa seperti jersi yang dipakai oleh pemain dalam satu-satu perlawanan dan barangan cenderahati koleksi khas kelab untuk dibeli oleh para penyokong. 

Harga bagi setiap token $JDT akan dimumkan apabila berlangsungnya Fan Token Offering (FTO) kelak.

Untuk makluman semua, FTO merupakan pelancaran awal bagi Fan Token dan ia akan berlangsung di dalam aplikasi Socios.com – yang dikuasakan dengan tekonologi rantaian-blok (blockchain). Satu panduan langkah demi langkah pembelian $JDT akan dikongsikan di laman sesawang, JDT Digital, sebelum pelancaran tersebut.

komen