Salah, Kpah Tak Berpeluang Beraksi Satu Padang
September 27, 2022 Hafizuddin Omar

Hasrat penyokong yang mahu melihat penyerang skuad kebangsaan Liberia merangkap Terengganu FC, Kpah Sherman berkongsi satu padang dengan penggempur handalan Liga Perdana Inggeris (EPL), Mohamed Salah nampaknya tidak dapat direalisasikan.

Sepatutnya, kedua-dua pemain berpeluang untuk berentap sesama sendiri memandangkan Liberia dijadualkan bertemu Mesir dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan berlangsung bermula jam 2 pagi nanti (waktu Malaysia) di Stadium Borg El Arab. 

Bagaimanapun, Reuters melaporkan barisan kejurulatihan Mesir yang diketuai oleh Rui Vitoria memaklumkan Salah akan direhatkan pada perlawanan menentang Liberia serta dibenarkan pulang lebih awal bersama kelabnya, Liverpool.

Awal pagi Sabtu lalu, Salah telah beraksi 90 minit penuh bersama Mesir ketika menentang Niger di stadium yang sama. Dalam perlawanan itu juga, dia berhasil menjaringkan dua gol sekaligus membantu Mesir menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-0 ke atas Niger.

Dengan kepulangan awal daripada tugasan antarabangsa, Salah mempunyai sedikit lebih masa untuk mempersiapkan diri sebelum berhadapan Brighton dalam aksi kesembilan EPL. 

Sementara itu, Kpah sempat beraksi sebagai pemain gantian ketika turun menentang Niger pada Ahad lalu. Pertembungan antara Liberia dan Niger itu berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan. 

Komen