Artikel

MFL Tutup Peluang Perak Bimbingan Lim Teong Kim Beraksi Di Piala Malaysia

Hasrat untuk melihat Perak FC yang mendapat bimbingan ketua jurulatih baharu, Lim Teong Kim untuk beraksi seawal saingan Piala Malaysia terkubur.

Ini selepas badan penganjur, Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataannya pada hari ini mengumumkan kesemua pasukan dalam kancah Liga Super layak menyertai saingan Piala Malaysia musim ini kecuali Melaka United FC.

Skuad berjulukan Hang Tuah itu dikekang daripada beraksi dalam saingan Piala Malaysia ekoran mengalami masalah tunggakan gaji melibatkan para pemain dan pegawainya walaupun berada di tangga kesembilan pada ketika ini.

Justeru, pasukan yang menamatkan saingan di tempat tercorot Liga Super dibenarkan menyertai saingan Piala Malaysia bagi mencukupkan kuota 11 pasukan daripada saingan liga tersebut.

Sebagai rekod, edisi-edisi yang lalu menyaksikan pasukan yang berada di tempat tercorot Liga Super tidak layak menyertai saingan Piala Malaysia yang melibatkan 16 pasukan kesemuanya.

Sementara itu, baki lima slot lagi akan diisi oleh lima pasukan terbaik (kecuali feeder team) daripada kancah Liga Premier. Setakat ini, lima pasukan tersebut ialah Kelantan, Kuching City, Kelantan United, PDRM FC dan UiTM FC.

Pengumuman oleh MFL menjadikan Perak yang berada di tangga kesembilan Liga Premier – pasukan keenam bukan feeder team – tidak dapat beraksi dalam kancah Piala Malaysia.

Untuk makluman, Perak hanya boleh beraksi sekiranya MFL mengumumkan pasukan di tangga terakhir Liga Super kekal tidak dapat bertanding disamping menggantung penyertaan Melaka United.

Featured Image: Perak Football Club

komen