Beregu badminton lelaki muda negara, Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri berhasil menggapai satu lagi kedudukan tertinggi dalam karier mereka pada minggu ini.
Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pasangan yang terkenal dengan julukan ‘Patatimo Boys’ kini berada di ranking ke-50 dunia buat pertama kali.
Arif-Haikal yang mempunyai 30,550 mata berada di kedudukan berkenaan selepas melangkau empat anak tangga berbanding kedudukan mereka pada minggu lalu.
Untuk pengetahuan semua, ini merupakan peningkatan positif kesepuluh direkodkan oleh pemain berusia 20 dan 19 tahun masing-masing ini dalam tahun 2022. Sebagai perbandingan, mereka bermula di ranking ke-103 pada 3 Januari lalu.
Sementara itu, sepasang lagi beregu muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pula menempatkan mereka dalam kelompok 25 beregu terbaik dunia dengan berada di ranking ke-24, minggu ini.
Setakat ini, Wei Chong-Kai Wun yang berusia 23 dan 22 tahun masing-masing memiliki 47,200 mata dan melangkau tiga anak tangga berbanding kedudukan pada minggu lalu.
Bagi Wei Chong-Kai Wun pula, ini merupakan peningkatan positif kesembilan yang diraih bagi tahun ini. Pada 3 Januari lalu, mereka bermula di ranking ke-64 dunia.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia