Lawan bagi saingan Terbuka Denmark 2022 – Jelajah Dunia Super 750 BWF – telah diketahui setelah berlangsungnya majlis undian, semalam.
Bagi kategori perseorangan lelaki, seramai dua orang pemain bebas (independent) negara yang menyertai kejohanan yang bermula 18 Oktober nanti iaitu Lee Zii Jia dan Liew Daren.
Berdasarkan hasil undian, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan bertemu pemain No.1 Belanda, Mark Caljouw di Pusingan 32.
Jika dilihat kepada rekod pertembungan, Zii Jia pernah menentang pemain yang berada di ranking ke-25 dunia ini sebanyak empat kali. Dan keempat-empat pertemuan itu berpihak kepada Zii Jia.
Sementara itu, Daren yang juga merupakan jurulatih dan rakan sepelatih Zii Jia akan turun menentang pemain Taiwan, Wang Tzu Wei di pusingan yang sama.
Rekod pertembungan antara Daren dan Tzu Wei seimbang dengan kedua-duanya pernah merekodkan dua kemenangan masing-masing daripada empat pertemuan. Namun begitu, kali terakhir kedua-dua pemain ini berentap di pentas antarabangsa adalah dalam kejohanan Cabaran Antarabangsa Vietnam 2016.