Saingan Terbuka Denmark yang akan berlangsung bermula 18 Oktober kelak di Odense akan menemukan beregu muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun dengan juara All England, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana di Pusingan 32.
Pertembungan itu terhasil selepas daripada sesi undian yang dijalankan bagi kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 750 BWF, semalam.
Berdasarkan prestasi semasa, Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking ke-24 dunia masih segar dengan kejayaan menjuarai saingan Terbuka Taipei (Jelajah Dunia Super 300) sekitar pertengahan Julai lalu.
Namun begitu, Fikri-Bagas yang berada di ranking ke-15 dunia dilihat bergelut untuk melepasi peringkat Pusingan 16 dalam 9 kejohanan terakhirnya bermula Kejohanan Badminton Asia pada penghujung April lalu.
Berdasarkan rekod pertemuan pula, Wei Chong-Kai Wun pernah bertemu Fikri-Bagas sebanyak satu kali dalam saingan Antarabangsa Belgium 2021. Ianya berakhir dengan Wei Chong-Kai Wun menanggung kekalahan.
Sementara itu, hasil undian turut menyaksikan juara dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan keempat akan turun menentang beregu Jerman yang menghuni ranking ke-11 dunia, Mark Lamfuss-Marvin Seidel pada Pusingan 32.
Beregu No.1 negara ini berkemungkinan besar tidak akan menghadapi masalah untuk melepasi Mark-Marvin memandangkan mereka pernah menumpaskannya sebanyak empat kali daripada lima pertemuan sebelum ini.
Selain itu, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin pula akan berhadapan dengan gandingan sementara dari Taiwan, Lee Yang yang terpaksa beraksi bersama pasangan lain buat seketika iaitu Lu Chen ekoran Wang Chi-lin mengalami kecederaan kaki.
Beregu bebas (independent) negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi merangkap pilihan kelapan akan menentang beregu China yang menghuni ranking ke-43 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Akhir sekali, Tan Kian Meng dan Tan Wee Kiong pula akan beraksi menentang beregu Korea di ranking ke-21 dunia, Choi Sol-gyu & Kim Won-ho. Pertembungan ini bakal menjadi yang kedua buat kedua-dua pemain setelah berentap buat pertama kali di Korea Masters sekitar pertengahan April lalu.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia