Artikel

Tiada Play-Off Liga Super Kerana Penyerahan Dokumentasi Juara Liga M3, PIB FC Tidak Lengkap

Tiada perlawanan play-off bagi saingan Liga Super 2023 yang melibatkan juara dan naib juara Liga M3, PIB FC dan KL Rovers FC serta dua pasukan tercorot Liga Premier musim ini.

Keputusan itu dibuat oleh badan bebas yang dilantik oleh Malaysian Football League (MFL) iaitu First Instance Body (FIB) selepas menyemak berkenaan permohonan pelesenan Kelab Liga Amatur M3 (AFL) yang berakhir pada 17 September lalu.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir menyatakan PIB FC salah satu daripada tujuh pasukan Liga M3 yang membuat permohonan lesen dan menunjukkan progres yang baik. 

Namun begitu, mereka tidak melengkapkan kesemua kriteria kelab profesional bagi mendapatkan lesen pada tarikh akhir permohonan.

Selain PIB FC, sebuah lagi kelab yang menunjukkan progres yang baik tetapi tidak melengkapkan kesemua kriteria ialah Harini FT.

Manakala baki lima pasukan lain yang turut membuat permohonan ialah BRM FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC. 

Dengan tiadanya perlawanan play-off ini, kesemua pasukan Liga Premier musim ini (kecuali pasukan feeder dan Skuad Projek FAM-MSN) terselamat daripada relegasi dan dapat menyertai saingan Liga Super 2023.

Untuk makluman semua, saingan Liga Super musim hadapan akan ditandingi 18 pasukan hasil gabungan 12 pasukan Liga Super dan 6 pasukan Liga Premier musim ini. Manakala saingan Liga Premier pula akan dihentikan bermula musim hadapan sehingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. 

Featured Image: PIB Football Club

komen