Kim Swee Mahu Sabah Bawa Pulang Sekurang-Kurangnya 1 Mata Menentang Terengganu
September 28, 2022 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berharap pasukannya tidak pulang dengan tangan kosong daripada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) selepas menentang Terengganu FC, Sabtu nanti.

Saingan Liga Super berbaki sekitar empat perlawanan sahaja lagi dan apa sahaja mata yang dikutip dalam fasa ini adalah penting lebih-lebih lagi untuk mengekalkan mereka dalam kelompok tiga terbaik bagi meraih slot ke saingan Piala AFC, musim hadapan.

“Di penghujung saingan dengan hanya tinggal beberapa perlawanan, apa sahaja mata yang dapat dipungut adalah penting dan kami tidak mahu pulang ke Sabah dengan tangan kosong selepas perlawanan dengan Terengganu.

“Di tempat sendiri, Terengganu FC mempunyai rekod sangat baik dan mereka telah bermain bersama untuk jangka masa yang lama sebagai satu pasukan berbanding kami yang kebanyakan pemain baharu dikumpulkan untuk musim ini.

“Selain itu, mereka punya kekuatan yang seimbang di semua posisi, jadi pendekatan kami perlu berbeza dan apa yang penting kami kena fokus dengan corak taktikal yang kita akan gunakan.” katanya.

Pada masa yang sama, bekas pengendali skuad kebangsaan ini menyatakan para pemainnya bebas kecederaan dan sedia untuk diturunkan.

“Tiada mana-mana pemain berdepan kecederaan dengan Gary Steven Robbat juga sudah kembali pulih manakala Dominic Tan yang baharu pulang bersama pasukan kebangsaan telah mula menjalani latihan sejak Selasa,” tambahnya.

Ketika ini, Sabah berada di tangga kedua Liga Super dengan rekod 36 mata. Sementara itu, Terengganu yang dibimbing oleh Nafuzi Zain pula berada di tangga keempat dengan memiliki 32 mata.

Keputusan seri akan menyaksikan Terengganu akan merapatkan jurang dengan perbezaan tiga mata sahaja manakala kekalahan akan menyaksikan kedua-dua pasukan ini hanya dibezakan dengan satu mata sahaja.

Featured Image: Sabah Football Club

Komen