Mount Tebu Climbathon Challenge Tarik Penyertaan Hampir 600 Pendaki Seluruh Negara
September 29, 2022 Hafizuddin Omar

Perlumbaan mendaki gunung yang akan dilangsungkan di Taman Eko-Rimba Lata Belatan, Besut, Terengganu pada 1 Oktober telah menarik penyertaan seramai 552 peserta dari seluruh negara.

Angka itu dimaklumkan oleh penganjur perlumbaan yang dinamakan sebagai Mount Tebu Climbathon Challenge ini setelah pendaftaran ditutup pada 14 September lalu.

Perlumbaan anjuran Kelab Kembara Terengganu ini mempertandingkan sebanyak tiga kategori iaitu Cengal (21 kilometer), Meranti (21 kilometer) dan Nyatoh (5 kilometer).

Juara, naib juara dan tempat ketiga bagi kategori Cengal akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM800, RM600 dan RM500 masing-masing berserta trofi dan pelbagai barangan.

Sementara itu, kategori Meranti pula yang terbuka buat peserta kelahiran Terengganu atau penduduk negeri Terengganu sahaja menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM500, RM300 dan RM200 bagi juara, naib juara serta pemenang tempat ketiga.

Difahamkan, acara larian mendaki Gunung Tebu yang berketinggian 1,038 meter dari paras laut ini yang pertama dianjurkan di semenanjung tanah air pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebagai tambahan, perlumbaan ini turut mendapat sokongan penuh pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Terengganu dan Tourism Malaysia.

Komen