Artikel

JAKIM FC Sertai Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-100 Tahun

Kelab bola sepak agensi pengurusan hal ehwal islam di peringkat persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia iaitu JAKIM FC menjadi salah satu yang akan beraksi dalam saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-100 tahun, awal Oktober nanti.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Idris Bin Ahmad menerusi laman sosialnya berkongsikan perkara berkenaan sambil melancarkan jersi baharu JAKIM FC untuk dipakai dalam kejohanan itu, pada hari ini.

Difahamkan, kewujudan JAKIM FC bagi memberi mesej Islam tidak anti kepada sukan kerana Islam itu syumul (menyeluruh). Namun begitu, ada panduan yang perlu diikuti mengikut syariat.

“Saya tubuh Kelab Bola Sepak JAKIM ni memang untuk dakwah secara bil hal melalui jalan riadah, kita nak tunjuk macam mana pakaian yang mengikut syariat dan akhlak Islam (fair play) apabila di padang, kita juga menganjurkan kempen pemain tidak merokok,” tulis Idris Ahmad yang berkongsikan kata-kata pengasas JAKIM FC.

Untuk makluman semua, JAKIM FC yang julung kalinya menyertai saingan ini diundi bersama-sama Kelantan, Pahang dan Bomba FC dalam Zon Timur. Perlawanan pertama yang akan dihadapi adalah Kelantan pada 1 Oktober kelak di Kota Bharu.

Mereka meletakkan sasaran untuk layak ke peringkat suku akhir.

Secara keseluruhannya, saingan ini disertai sebanyak 16 pasukan dan dibahagikan kepada empat zon iaitu Utara, Selatan, Tengah dan Timur. Juara serta naib juara bagi setiap zon akan mara ke peringkat suku akhir.

komen