PNB, RS Greenmaster Bina Seriemas Sportsplex – Dilengkapi 2 Padang Standard FIFA, 3 Gelanggang Futsal
September 29, 2022 Hafizuddin Omar

Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya merangkap pemaju hartanah, PNB Development mengumumkan pembinaan kompleks sukan baharu, Seriemas Sportsplex bersama-sama pemaju kemudahan sukan, RS Greenmaster.

Pembinaan kompleks sukan yang terletak di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan itu akan dilengkapi dengan dua buah padang bola sepak bersaiz penuh menggunakan rumput tiruan yang diiktiraf Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta tiga buah gelanggang futsal.

Padang bola sepak itu juga boleh digunakan pada waktu malam memandangkan ianya akan dilengkapi dengan sistem pencahayaan pintar automatik yang sepenuhnya.

Selain itu, tempahan padang serta gelanggang futsal di Seriemas Sportslex ini juga dimudahkan buat para pelanggan dengan penggunaan sistem tempahan atas talian melalui aplikasi JomChup.

View this post on Instagram

A post shared by Kota Seriemas (@kotaseriemas)

Dimaklumkan, pembinaan Seriemas Sportsplex yang sesuai bagi kegunaan pemain tempatan mahupun antarabangsa ini dijadualkan siap menjelang suku pertama 2023 kelak. 

Sebagai tambahan, PNB memaklumkan idea pembangunan ini bertujuan untuk membina komuniti yang bertenaga selain memikat bakal pembeli dengan cadangan gaya hidup dan tawaran nilai tersedia melalui pembinaan Seriemas Sportsflex.

Untuk pengetahuan semua, Kota Seriemas merupakan sebuah perbandaran seluas 2,814 ekar yang terdiri daripada komponen kediaman dan komersil. Setakat ini, sebanyak 2,440 buah rumah dan strata pelbagai jenis terletak di dalam Kota Seriemas ini.

Pemaju induknya ialah Seriemas Development Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat PNB Development. Perjanjian usahasama antara PNB Development dan RS Greenmaster bagi membangunkan Seriemas Sportsflex ini telah ditandatangani pada 25 Mei lalu.

Komen