Artikel

Selangor Lantik Pengarah AMD, Dennis Bekking Sebagai Pengarah Teknikal Baharu

Belum genap seminggu mengenai pelantikan Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih baharu Selangor FC, pasukan yang terkenal dengan julukan Red Giants ini menggegarkan arena bola sepak tempatan pengumuman pengarah teknikal baharunya, pada hari ini.

Menerusi makluman rasmi, individu baharu yang mengisi jawatan tersebut ialah Dennis Bekking, kelahiran Belanda, berusia 45 tahun, merangkap Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada masa ini.

Sebelum dilantik menjadi Pengara AMD pada tahun 2019, karier Bekking dalam bidang kejurulatihan banyak bertumpu di negara kelahirannya meliputi pelbagai jawatan seperti Ketua Pembangunan Belia, Ketua Pencarian Bakat dan Ketua Jurulatih pasukan pelbagai peringkat umur.

Bersama Selangor, Bekking dipertanggungjawabkan ke atas hal-hal teknikal yang melibatkan pasukan pembangunan bermula daripada skuad B-23, B-20, B-18 serta pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Selangor.

Selain itu, Bekking juga akan bertanggungjawab membangunkan falsafah bola sepak bagi Selangor, mengukuhkan jabatan sains sukan, menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan dan pembangunan bakat muda.

Untuk makluman semua, Bekking akan mula bertugas sebagai Pengarah Teknikal Selangor FC secara rasmi pada 1 Januari 2023 kelak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen