Terbuka Vietnam: Hanya Kisona, Jin Wei Wakil Negara Ke Suku Akhir
September 29, 2022 Hafizuddin Omar

Kisona Selvaduray dan Goh Jin Wei menjadi dua wakil negara yang masih kekal dalam kejohanan Terbuka Vietnam – Jelajah Super 100 BWF – bagi kategori perseorangan wanita dengan melangkah ke peringkat suku akhir.

Kisona merangkap pilihan kelima kejohanan mara selepas berhasil mengetepikan cabaran pemain No.1 Myanmar, Thet Htar Thuzar di peringkat Pusingan 16 pada hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, Kisona mengambil masa sejam sebelum mengesahkan kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 16-21, 21-18 dan 21-18.

Lebih manis, ini merupakan kemaraan ke peringkat suku akhir yang pertama buat Kisona selepas enam bulan. Pemain berusia 23 tahun ini mara ke peringkat yang sama buat kali terakhir adalah di kejohanan Terbuka Swiss, pada penghujung Mac lalu. 

Menantinya di peringkat suku akhir adalah pemain tuan rumah, Tran Thi Puong Thuy yang berusia 21 tahun. 

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Jin Wei mara selepas mengalahkan pemain India, Ira Sharma secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-10 dalam tempoh masa sekitar setengah jam.

Jin Wei juga akan berhadapan dengan pemain tuan rumah yang turut berusia 21 tahun, Vu Thi Anh Thu, penghuni ranking ke-261 dunia.

Sekiranya Kisona dan Jin Wei menang perlawanan peringkat suku akhir menentang lawan masing-masing, kedua-duanya akan bertembung sesama sendiri di peringkat separuh akhir.

Featured Image: Badminton Association of Thailand & Badminton Association of Malaysia

Komen