Kalendar Jelajah Dunia BWF Dipendekkan – 2 Kejohanan Di China Dibatalkan
September 30, 2022 Hafizuddin Omar

Kalendar kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) pada tahun ini dipendekkan dengan dua kejohanan yang sepatutnya berlangsung di China dibatalkan.

Menurut makluman badan induk sukan berkenaan, dua kejohanan yang dibatalkan itu ialah Terbuka China (Super 1000) dan Terbuka China Fuzhou (Super 750).

Kedua-dua kejohanan ini sepatutnya berlangsung pada 29 November-4 Disember dan 6-11 Disember masing-masing.

Pembatalan tersebut menjadikan kejohanan Terbuka Australia (15-20 November) sebagai penutup bagi kalendar Jelajah Dunia musim 2022.

Ini juga menjadi pentas terakhir buat para pemain atau pasangan untuk mengutip mata bagi melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Akhir Dunia BWF 2022.

Untuk makluman, hanya lapan pemain atau pasangan terbaik sahaja bagi setiap kategori layak untuk menyertai kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF ini bagi merebut hadiah terkumpul bernilai 1.5 juta dolar amerika.

Setakat ini, Lee Zii Jia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjadi wakil negara yang berada dalam kelompok lapan pemain/pasangan terbaik dalam kategori masing-masing untuk layak ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF.

Dalam kenyataan yang sama, BWF turut mengesahkan Stadium Tianhe yang terkenal dengan gelanggang merah di Guangzhou, China menjadi hos bagi Jelajah Dunia Akhir kali ini. Kejohanan ini akan berlangsung bermula 14 hingga 18 Disember kelak.

Komen