“Dari Mana Atiq Mendapat Tawaran Tersebut?” Soal Pengarah Teknikal JDT
September 30, 2022 Hafizuddin Omar

Pihak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mengemukakan sebarang tawaran kepada penyerang Terengganu II, Muslihuddin Atiq Mat Zaid, 21 tahun, untuk menyertai skuad berjulukan Harimau Selatan.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial milik kelab, pada hari ini.

Kami terkejut dengan berita tentang tawaran yang sudah dilakukan kepada Atiq.” 

View this post on Instagram

A post shared by JOHOR DARUL TA’ZIM FC (@officialjohor)

“Kami juga tertanya-tanya dari mana Atiq mendapat tawaran tersebut kerana tiada walau seorang pun staf teknikal termasuk saya selaku Pengarah Teknikal atau Martin Prest, Pengarah Sukan telah membuat tawaran kepada pemain tersebut.” jelas Alistair.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan perkembangan mengenai Atiq yang cemerlang membantu skuad Terengganu merangkul pingat emas dalam acara bola sepak lelaki di temasya SUKMA XX baru-baru ini dirisik oleh JDT.

Pada ketika ini, Atiq, kelahiran Kemaman, yang menjaringkan 3 gol dalam kempen SUKMA XX masih mempunyai kontrak bersama Terengganu FC sehingga penghujung November ini.

Pada masa yang sama, Alistair menambah, “JDT sedang dalam perbincangan dengan beberapa pemain luar negara dan berkemungkinan akan menandatangani seorang pemain tempatan, tetapi pemain tersebut bukanlah Atiq.”

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen