Terbuka Vietnam: Beregu Ranking 256 Dunia Singkir Peng Soon-Yee See Di Suku Akhir
September 30, 2022 Hafizuddin Omar

Tiada sebarang kelibat wakil negara akan beraksi dalam peringkat separuh akhir kejohanan Terbuka Vietnam – Jelajah Super 100 BWF – bagi kategori beregu campuran.

Ini selepas Chang Peng Soon dan Cheah Yee See yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan kandas di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Peng Soon-Yee See kandas selepas beregu India yang menghuni ranking ke-256 dunia, Rohan Kapoor dan Reddy Sikki menumpaskan mereka secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-17 dalam tempoh 39 minit.

Untuk makluman, ini merupakan peringkat suku akhir yang pertama dijejaki oleh Peng Soon-Yee See dalam kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejak kembali bergandingan bermula Jun lalu.

Selain itu, Peng Soon-Yee See pernah menjejaki satu lagi pentas suku akhir dalam temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang berlangsung sekitar awal Ogos lalu.

Sebelum itu, sepasang lagi wakil beregu campuran negara, Low Juan Shen dan Goh Liu Ying terlebih dahulu mengalami nasib yang sama tersingkir di peringkat suku akhir apabila tumpas kepada beregu Indonesia, Zachariah Sumanti dan Hediana Julimarbela.

Dengan tamatnya kempen Terbuka Vietnam, Peng Soon-Yee See akan mengalihkan tumpuan kepada kejohanan seterusnya, Terbuka Denmark – Jelajah Dunia Super 750 – yang akan berlangsung bermula 18 Oktober kelak.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen