Terbuka Vietnam: Jin Wei Mara Separuh Akhir, Kisona Kandas Suku Akhir
September 30, 2022 Hafizuddin Omar

Pertembungan melibatkan dua perseorangan wanita negara di peringkat separuh akhir Terbuka Vietnam – Jelajah Super 100 BWF – tidak akan berlaku.

Ini berikutan hanya Goh Jin Wei sahaja berjaya melepasi cabaran di peringkat suku akhir, pada hari ini. Pemain berusia 22 tahun ini mengatasinya dengan menumpaskan pemain tuan rumah, Vu Thi Anh Thu dengan skor 9-21, 21-10 dan 21-7.

Keputusan itu sekaligus membolehkannya mara ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada hari esok.

Sebagai rekod, ini merupakan pentas separuh akhir yang pertama buat Jin Wei selepas hampir 4 bulan.

Kali terakhir Jin Wei ke peringkat separuh akhir adalah dalam saingan Antarabangsa Itali pada awal Jun lalu.

Sementara itu, seorang lagi perseorangan negara, Kisona Selvaduray kandas di peringkat suku akhir selepas tumpas kepada seorang lagi pemain tuan rumah, Tran Thi Phuong Thuy secara “straight set” dengan pungutan mata 19-21 dan 7-21.

Ini menjadikan Tran Thi Phuong Thuy yang akan bertemu Jin Wei di peringkat separuh akhir bagi merebut tempat ke perlawanan akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen