Johor Darul Ta’zim Rangkul Kejuaraan Liga Super Kesembilan – Berbaki 4 Perlawanan
October 1, 2022 Hafizuddin Omar

Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan ramai merangkul kejuaraan Liga Super 2022. Kejuaraan itu juga menyaksikan mereka merekodkan kejuaraan buat kali kesembilan berturut-turut sejak dipimpin oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sejak tahun 2012.

Pengesahan kejuaraan itu hadir awal dengan berbaki empat lagi perlawanan Liga Super musim ini setelah JDT merekodkan kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan di lamannya sendiri, Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Pada masa yang sama, ia juga dibantu dengan kemenangan 2-0 Terengganu ke atas pasukan yang sedang menduduki tangga kedua Liga Super, Sabah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), sebentar tadi. 

Situasi ini menjadikan Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio yang mengumpul 46 mata daripada 18 perlawanan sudah tidak dapat dipintas oleh Sabah atau mana-mana pasukan lain walaupun JDT tumpas dalam keempat-empat perlawanan seterusnya.

Sebagai rekod, JDT selepas dibimbing oleh TMJ julung kalinya merangkul kejuaraan Liga Super pada musim 2014. Sejak itu, trofi Liga Super disimpan kemas oleh mereka bertahun-tahun di Johor Bahru.

Sementara itu, kejuaraan awal yang dirangkul oleh JDT pada malam ini membolehkan mereka layak secara automatik ke peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) buat kali kelima berturut-turut, pada tahun hadapan.

Tidak dilupakan, JDT juga merupakan juara Piala FA pada musim ini. Perkembangan ini menjadikan JDT akan melepaskan slot ke Piala AFC tersebut. Ianya akan diberikan kepada pasukan yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua dan ketiga masing-masing. 

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen