Terbuka Vietnam: Goh Jin Wei Kembali Bergelar Naib Juara Selepas 15 Bulan
October 2, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan wanita negara merangkap bekas juara remaja dunia sebanyak dua kali, Goh Jin Wei kembali merasai nikmat bergelar naib juara yang pertama selepas 15 bulan.

Gelaran tersebut berhasil diraih oleh pemain yang berada di ranking ke-50 dunia ini setelah tamatnya perlawanan akhir menentang Thuy Linh Nguyen di kejohanan Terbuka Vietnam – Jelajah Super 100 BWF, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Jin Wei menamatkan pertarungan tersebut dengan tumpas “straight set” kepada pemain tuan rumah yang menghuni ranking ke-58 dunia terbabit dengan skor 15-21 dan 13-21.

Pertemuan kali keempat melibatkan kedua-dua pemain ini berlangsung dalam tempoh 32 minit. Untuk makluman, ini merupakan kemenangan sulung Thuy Linh ke atas Jin Wei di pentas antarabangsa. 

Selain itu, ini juga menjadi pentas akhir yang pertama buat Jin Wei selepas dia mengumumkan untuk kembali beraksi pada Januari lalu. Sebelum itu, Jin Wei menggantung raketnya buat seketika ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya.

Sebagai rekod, kali terakhir Jin Wei dilihat beraksi di pentas akhir dan bergelar naib juara adalah di kejohanan Antarabangsa Iberdola Sepanyol pada Jun tahun lalu. Ketika itu dia terlepas peluang untuk bergelar juara apabila tumpas kepada rakan senegaranya, Kisona Selvaduray.

Manakala kali terakhir Jin Wei merangkul kejuaraan pula adalah pada tahun 2018 dalam Kejohanan Dunia Remaja yang berlangsung di Markham, Kanada. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen