Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang terkenal dengan julukan “The Pocket Rocketman” dilantik sebagai duta pertama Gardenia Breakthru.
Lantikan itu hadir melalui jenama produk roti terkenal negara, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dalam satu majlis yang diadakan semalam. Ianya turut dihadiri oleh Pengerusi Gardenia, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
“Pendirian saya dan Gardenia Breakthru adalah selari kerana saya percaya yang saya mampu mengatasi setiap halangan walau betapa sukar dan mustahil akan halangan tersebut.
“Harapan saya dan Gardenia Breakthru daripada kolaborasi ini adalah agar dapat memupuk amalan kehidupan yang lebih sihat, kekal aktif dan mengamalkan pemakanan yang baik.
“Pada masa yang sama, kami juga berharap dapat menggalakkan pemikiran berdaya tahan dalam kalangan rakyat Malaysia tidak kira apa jua kerjaya mahupun kehidupan harian anda.
“Setiap individu pastinya akan melalui liku-liku kehidupan, tetapi itulah yang membuatkan cerita anda menjadi sesuatu yang luar biasa. Atasi halangan anda bersama Breakthru!” kongsi pelumba kelahiran Dungun, Terengganu menerusi laman sosialnya.
Di bawah penjenamaan Gardenia Breakthru, terdapat dua produk yang ditawarkan iaitu Roti Gandum Penuh dan Roti Mil Penuh Dengan Gandum Ungu Kanada. Kedua-duanya mempunyai indeks glisemik (GI) yang sederhana dan rendah iaitu 58 dan 47 masing-masing.
Untuk makluman semua, GI digunakan untuk mengukur seberapa cepat makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan paras gula dalam darah seseorang selepas makanan tersebut dimakan.
Semakin rendah nilai GI bermakna semakin perlahan paras gula meningkat dalam darah. GI bagi setiap makanan diberikan skala bermula 1 hingga 100. Skala 55 dan ke bawah adalah rendah GI, skala 56 hingga 69 pula adalah sederhana manakala 70 dan ke atas adalah tinggi GI.
Featured Image: Azizulhasni Awang