Ranking BWF: Aaron-Wooi Yik Jadi Beregu No.4 Dunia, ‘Patatimo Boys’ Lonjak Ke Tangga Ke-44
October 4, 2022 Hafizuddin Omar

Juara dunia merangkap beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik merekodkan kedudukan tertinggi yang baharu dalam karier apabila menghuni kelompok 4 pasangan terbaik buat kali pertama, pada hari ini.

Kemaskini terbaru ranking dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebentar tadi, Aaron-Wooi Yik memasuki kelompok berkenaan apabila melonjak satu anak tangga berbanding kedudukannya, pada minggu lalu. Lonjakan itu membolehkan mereka memintas gandingan pemain senior, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan. 

Sementara itu, takhta beregu No.1 dunia masih dipegang pasangan Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi diikuti dengan pasangan Indonesia, Marcus Gideon dan Kevin Sukamuljo selaku beregu No.2 dunia. Manakala beregu No.3 dunia pula menjadi milik pasangan Taiwan, Lee Yang dan Wang Chi-lin.

Dalam perkembangan yang lain, beregu muda negara, Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri turut merekodkan peningkatan yang ketara dengan melonjak sebanyak enam anak tangga.

Lonjakan itu meletakkan pasangan berjulukan “Patatimo Boys” ini di tangga ke-44 dunia – tertinggi dalam karier mereka setakat ini. Peningkatan itu terhasil selepas mereka berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir Terbuka Vietnam – Jelajah Super 100 BWF, baru-baru ini.

Selepas ini, Arif-Haikal berpeluang untuk meningkatkan lagi kedudukan ranking dunia dengan mara lebih jauh dalam kedua-dua kejohanan, Cabaran Antarabangsa Indonesia dan Indonesia Masters (Super 100) yang mereka sertai pada Oktober ini.

Featured Image: Badminton Asia

Komen