Penganjur bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) melakukan satu perubahan terhadap kejohanan bola sepak tertua tanah air dan benua asia, Piala Malaysia 2022.
Menerusi satu kenyataan rasmi, saingan Piala Malaysia kali ini menyaksikan peringkat kumpulan tidak akan dilangsungkan sepertimana kebiasaan pada edisi-edisi yang lalu.
Sebaliknya, kesemua pasukan yang layak menyertai kejohanan kali ke-101 tahun ini akan diundi bermula terus di peringkat Pusingan 16 secara timbal balik.
Pemenang pula akan mara ke peringkat suku akhir sebelum mara ke peringkat separuh akhir. Kedua-dua peringkat ini juga akan dilangsungkan secara timbal balik.
Manakala perlawanan akhir pula akan berlangsung sekali sahaja dan ianya akan diadakan di venue neutral pada 26 November.
Malaysian Football League (MFL) mengumumkan tiada aksi peringkat kumpulan bagi format TM Piala Malaysia 2022 di mana semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan.
Baca lanjut ⤵️#TMPialaMalaysia2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 4, 2022
Difahamkan, keputusan ini dicapai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya kepadatan kalendar semasa serta ramalan cuaca yang membimbangkan (hujan lebat Oktober hingga Disember) yang tidak memberi sebarang ruang untuk penangguhan sekiranya diperlukan.
Tambahan pula, keputusan itu turut dicapai selepas keluarnya peringatan oleh kerajaan Malaysia bahawa akan berlaku fenomena air pasang besar yang akan menyebabkan berlakunya banjir di hampir seluruh negeri di Malaysia pada bulan-bulan yang akan datang.
Dalam kenyataan yang sama, MFL turut memaklumkan sepak mula saingan ini bergantung samada Kuala Lumpur City (KL City) FC layak ke perlawanan akhir Piala AFC atau tidak.
Sekiranya skuad ibu kota itu layak, saingan Piala Malaysia akan bermula 25 Oktober. Jika sebaliknya yang berlaku, ianya akan bermula lima hari lebih awal – 21 Oktober.
Sebagai rekod, saingan edisi lalu turut berlangsung dengan format khas iaitu kalah mati – menggantikan saingan Piala FA,
Featured Image: Malaysian Football League